Hati Seorang Ibu..

Jom baca cerpen nie...

Jam menunjukkan hampir pukul 3.00 pm. Pukul 3.00 pm ada mesyuarat dengan Big Bos. Baru nak semak agenda mesyuarat yang bakal dihadiri, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. Tertera ‘abang’. Daripada suami saya rupanya. Baru saja saya ucapkan “Hello”, terdengar di sebalik sana, bunyi tangisan bayi...

Beginilah kasih seorang ibu terhadap anaknya...


Berdebar rasa hati. “Ana, balik la!! Tak tau nape Danisha asyik nangis je dari tadi ni!!” Cepat-cepat saya putuskan talian, shut down pc dan capai beg. Kepada rakan sekerja, saya hanya beritahu, “Baby akak nangis je dari tadi, tak tau nape? Akak balik ye! Tolong bagitau boss akak tak dapat attend mesyuarat”. Dengan harapan kata-kata saya didengar, saya terus menuju ke lif. Jarak dari rumah ke pejabat dalam 12km tetapi rasa macam lambat saja perjalanan. Macam-macam menerjah fikiran. Risau apa-apa yang berlaku kepada bayi saya yang baru berusia dua bulan setengah itu. Dalam debar, saya berusaha memanjatkan doa kepada Allah agar tidak ada apa-apa yang serius menimpa bayi saya.

Bercampur aduk..
Sampai depan rumah, saya masih dengar tangisan Nur Danisha. Suara suami saya memujuk juga jelas kedengaran. Segera saya memberi salam. Pintu bibuka oleh Ayuni. Sejurus itu juga, tangisan bayi saya berhenti. Dengan cepat saya mengambil Danisha daripada suami. Danisha memandang saya kemudian terdengar suaranya “uuu…” Terus saya bertanya, “Nape? Cari ummi ye?” Agaknya menjawab pertanyaan saya, Danisha terus tersenyum. Subhanallah!! Barulah saya teringat, sejak dua minggu lepas, saya tak pernah lupa mencium kedua-dua pipinya dan memberitahunya saya nak pergi kerja. Cuma pagi tadi, saya tak sempat nak lakukan perkara yang sama sebab Danisha sedang asyik lena di dalam buaian. Agaknya sebab itulah dia mencari saya. Allahuakbar, Allah Maha Besar!

Bukan sekadar anggapan rindukan saya, bertalu-talu soalan saya ajukan kepada suami. Baby jatuh ke? Tersilap pegang ke? Ada tak biarkan kakak atau abang dukung baby? Macam-macam soalan yang hari ini (kejadian berlaku semalam) saya sendiri dah tak boleh nak ingat. Ya, risau, bimbang.. segalanya bercampur aduk. Hal kerja atau apa saja yang lain dah tak penting lagi ketika itu. Yang nampak di mata hanyalah anak. Agaknya begitulah juga kedaan Mak ketika saya terlibat dalam program pertukaran pelajar antara Universiti. Saya hanya mengirim kad ucapan selamat hari ibu dan selepas itu, tiada langsung khabar yang saya kirimkan. Ya la, sebulan sahaja saya di sana. Bagi saya memadailah. Tak sangka pula, Mak saya tak berselera nak makan hampir dua minggu setelah mengetahui berita kejadian gempa bumi di Jepun, jauh beribu kilometer dari tempat saya berada. Hinggakan Mak saya bernazar untuk tumbangkan seekor kambing jika saya selamat kembali ke Malaysia.

Itulah hati seorang ibu. Saya pernah dengar orang bercakap, “Orang perempuan ni, fikir entah apa-apa. Benda kecik pun nak risau lebih-lebih”. Anak ok ja, mak pulak yang lebih-lebih meraung”. Macam –macam lagi la. Macam tu lah yang terjadi pada anak saya. Suami pun bagitau hanya menangis. Tetapi dalam perjalanan balik, macam-macam yang menerjah fikiran saya. Semua yang saya fikirkan itulah, saya lontarkan soalannya kepada suami selepas itu. Dan jawapan bagi semua soalan saya adalah TIDAK. Nyata, Danisha hanya mencari saya. Namun, bagi seorang ibu, tidak ada perkara yang remeh jika ianya berkaitan dengan anak-anak. Sebagai seorang ibu, anak lebih utama dan pertama dalam segala hal. Ibu sanggup bersusah payah untuk kebahagiaan anak-anak. Ibu sanggup berlapar demi anak-anak.

Namun , berapa ramaikah anak-anak yang masih sedar dengan susah payah seorang ibu? Berapa ramaikah anak-anak yang faham hati seorang ibu? Berapa ramaikah anak-anak yang masih mengutamakan ibu? Adakah kita sebagai anak telah melakukan yang terbaik untuk menjaga ibu kita?
Wahai kawan-kawan. Fikirlah tentang ibu kita selagi hayatnya masih ada. Jangan menyesal di kemudian hari kerana kamu telah menyakiti hati ibu kamu. Ibu!! Kau inspirasi hidupku.

0 Response to "Hati Seorang Ibu.."