Kerana Benci,Sanggup Mengaku Anak Luar Nikah...



“Kiraaan saya yang ini, dua tiga kali lebih daripada tempoh enam bulan. Anggarannya tujuh bulan 23 hari. Ini mengikut kalendar masihi”. Ujar mahkamah yang keliru kepada pemohon dan ibunya yang hadir, pemohon Aqilah dan ibunya Fatimah hanya berdiam diri membiarkan mahkamah mencari jawapan sendiri. Aqilah yang memfailkan permohonan kebenaran bernikah berwalikan hakim, tidak mengetahui apa-apa, kecuali penerangan daripada ibunya. Ibunya Fatimah yang mengetahui kebenaran di sebalik permohonan.


“ Tidak mengapalah tuan, kalau dah terlebih kan lagi baik. Apa susah-susah, Tuan bagi sajalah kebenaran bernikah, habis cerita”. Jelas Fatimah yang agak kurang senang dengan soalan dan pertanyaan mahkamah.
Berlaku Jujur…
Hal sebegini bukannya mudah diterima dan diputuskan mengikut perasaan. Sebaliknya perlu diperhalusi dan dikira tempoh yang dinyatakan di samping keterangan pihak-pihak diambil. Berdasarkan kiraan bulan yang merujuk kepada tempoh Aqilah berada di dalam perkahwinan Puan Fatimah dan bapanya, Sobri, menunjukkan Aqilah di’benih’kan sesudah berlakunya pernikahan kedua-dua orang ibu bapanya.

“Depan mahkamah, saya harap Puan Fatimah bercakap benar. Mudah untuk saya buat keputusan. Sebaliknya, kalau kenyataan Puan Fatimah tidak betul, berbohong, mahkamah boleh mengenakan hukuman kerana menipu”. Ugut mahkamah agar kebenaran didedahkan.
Puan Fatimah agak terkjut dengan ancaman yang diberikan, akhirnya mengaku bahawa Aqilah adalah anak yang dikandungkannya di dalam tempoh pernikahannya dengan Sobri. Aqilah adalah anak sulungnya dan berstatus sah taraf. Malah Sobri, bapanya layak menjadi wali pernikahannya. Namun disebabkan beberapa peristiwa hitam, sikap dan perangai Sobri yang menyebabkan Fatimah, Aqilah dan adiknya dibiarkan tanpa pembelaan, hak Sobri dinafikannya.

Tidak pernah ambil tahu…
“ Kalau inilah yang berlaku, tidak salah, tidak silaplah saya membuat kiraan. Kiraan saya memang betul Aqilah anak dalam nikah. Malah tidak memrlukan hak perwalian, wali hakim”. Kesimpulan mahkamah kesudahannya setelah mendengar pengakuan Fatimah.
Sebaliknya lain yang timbul, Sobri yang enggan menjadi wali kepada Aqilah kerana sebab-sebab peribadi. Fatimah yang dalam keterpaksaan, akhirnya menerangkan hakikat dan kebenaran yang berlaku.

“Kami anak beranak sungguh merasa benci dengan ayah budak ini. Sejak usianya 10 tahun, ayahnya mengikut perempuan lari ke Bandar. Sampai sekarang saya dan anak-anak tidak tahu di mana dia berada. Pernah dicari di kampung pun tiada. Apa yang saya dengar, Sobri bekerja di kelab malam, jadi tukang pukul. Malah dia yang menyimpan perempuan-perempuan pelayan GRO yang bekerja dalam tu”, jelas Fatimah secara jujur.
Sambungnya lagi, “ Jadi budak-budak ini yang tahu perangai dan kerja bapanya, malu untuk terimanya kembali. Lagipun dia memang tidak pernah ambil tahu, tidak pernah bagi duit untuk budak ini, sampailah dia besar”.

Dalam hal ini, mahkamah akhirnya meminta Aqilah mencari peguan sebagai wakil. Terdapat beberapa kaedah yang boleh menyelesaikan masalah, antaranya membuat permohonan wali enggan atau wali ghaib. Namun ianya terpulang kepada kesesuaian masalah yang dihadapi oleh Aqilah dan ibunya sendiri.
Malang nasib Sobri, anak yang kini sudah besar dan akan mendirikan rumah tangga, malu untuk mengaku sebagai ayah kandung disebabkan sikap dan perangai tidak eloknya sendiri.

0 Response to "Kerana Benci,Sanggup Mengaku Anak Luar Nikah..."